Pengikut

Jumaat, 9 Mac 2012

PENULISAN : Cara - cara memupuk semangat patriotisme



Dewasa ini, kita sering dipersoalkan tentang pemupukan semula semangat  patriotisme dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini. Saranan  ini memang wajar memandangkan generasi muda khususnya pelajar tidak lagi bersemangat patriotik seperti generasi sebelum merdeka. Semangat patriotik sangat penting untuk membina jati yang kental dan kuat agar dapat mewujudkan perpaduan nasional.
                                                                                                      
Antara langkah yang boleh dijalankan untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar adalah dengan mengajar mata pelajaran Sejarah di sekolah. Hal ini demikian kerana dengan adanya mata pelajaran Sejarah, semangat patriotik dapat disebarkan secara menyeluruh dengan lebih mendalam mengenai sejarah negara kita.Sebagai contoh, pelajar dapat mengetahui peristiwa-peristiwa penting semasa negara hendak mencapai kemerdekaan dan menyelami pelbagai kesengsaraan yang dialami oleh pejuang-pejuang negara dalam usaha untuk mencapai kemerdekaan.

Sehubungan  itu, dengan mempelajari mata pelajaran Sejarah, pelajar juga dapat mengenali dengan lebih mendalam tentang tokoh-tokoh terkemuka yang telah banyak berjasa kepada negara. Hal ini akan membangkitkan semangat untuk menghargai jasa-jasa yang telah ditaburkan. Aspek ini dapat dilihat dalam diri pelajar seperti pelajar akan mempunyai semangat yang lebih kental dan tidak mudah goyah dalam menegakkan sesuatu perkara demi keadilan negara. Oleh itu, mempelajari mata pelajaran Sejarah amat penting bagi melahirkan pelajar yang berjiwa patriotik dan mempunyai semangat cinta akan tanah air.
 
Dengan ini, semangat patriotik dapat diterapkan dalam diri setiap pelajar untuk mempertahankan kebebasan yang telah kita perolehi pada hari ini apabila mengetahui betapa tingginya nilai kemerdekaan sesebuah negara. Bak kata pepatah Melayu, 'tak kenal, maka tak cinta'.

Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita  
Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan kata lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.
Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Sekiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.

Tiada ulasan: