Pengikut

Jumaat, 23 Mac 2012

Esei Pengguna HPM 2011


Label makanan dalam kehidupan seharian.
           
Penjagaan kesihatan amat penting dalam kehidupan seharian. Pelbagai cara boleh dilakukan untuk menjaga kesihatan termasuk bersenam, mengamalkan pemakanan seimbang, dan menjalankan pola hidup sihat. Namun, ada satu perkara yang kerap dilupakan iaitu sentiasa berhati-hati membeli produk makanan dengan membaca label yang tertera pada pembalut makanan.
Pelabelan makanan adalah keterangan mengenai tahap atau kandungan nutrien yang terdapat pada label makanan.Ia merupakan akuan yang benar mengenai kualiti pemakanan bahan makanan tersebut. Pelabelan makanan bertujuan untuk membekalkan maklumat yang benar dan jelas tentang sesuatu produk. Label hendaklah mematuhi PPM 1985 dan tidak boleh mengelirukan atau memperdayakan pengguna. Sejak bulan Mac 2004, kebanyakan makanan komersial yang dijual di Malaysia dikehendaki meletakkan label makanan yang menyediakan maklumat kepada orang awam untuk membantu mereka membuat pilihan.
Label makanan berfungsi sebagai perantara komunikasi dengan pihak pengeluar makanan yang ingin menerangkan kepada pengguna akan kebaikan produknya daripada sudut kesihatan. Ia memberi maklumat mengenai jumlah dan jenis nutrien yang terkandung dalam produk makanan tersebut.
 Selain itu, pelabelan makanan juga  bertujuan untuk menyediakan satu cara penyampaian maklumat mengenai kandungan nutrien atau zat makanan pada label setiap makanan yang dikeluarkan.Dengan ini, ia dapat membantu pengguna membuat pemilihan makanan yang bijak.Pelabelan makanan merupakan satu kaedah untuk memberitahu pengguna mengenai kualiti pemakanan sesuatu bahan makanan.
            Sehubungan dengan  itu, pelabelan makanan turut menyokong aktiviti pendidikan pemakanan kerana ia menggalakkan penggunaan prinsip pemakanan yang kukuh dalam pemilihan makanan dan  penyediakan hidangan. Pelabelan makanan juga memberi faedah kepada industri makanan kerana ia membolehkan pengeluar makanan dan peruncit untuk mengutamakan kandungan zat makanan dalam setiap produk yang dikeluarkan kepada pengguna secara faktual. Ini akan menggalakkan pengeluar makanan untuk menjadi lebih prihatin terhadap kepentingan mengeluarkan makanan yang berkhasiat. Dengan adanya maklumat pada label, pihak pengeluar bertanggungjawab untuk menjalankan prosedur jaminan kualiti supaya maklumat tersebut adalah benar. Kualiti produk lebih terjamin kerana pihak pengeluar akan berusaha memelihara kandungan nutrien di dalam produknya sepertimana yang tertera pada label.
Label bukan sahaja berfungsi sebagai pelengkap hiasan pembungkus makanan, malah ia mampu membantu kita membuat pilihan pemakanan yang bijak sekiranya kita mengetahui cara membaca dengan betul dan memahami maklumat yang tertera dalam label tersebut. Pada label makanan tersebut, kita perlu mengetahui pelbagai perkara penting seperti kandung pemakanan. Maklumat ini boleh didapati di bahagian Maklumat Pemakanan yang menyenaraikan jenis dan jumlah nutrien yang diperolehi apabila kita mengambil produk ini.
            Kita seharusnya sentiasa peka dengan tarikh luput produk dan kita hanya mengambilnya sebelum tarikh luput yang tertera pada label produk tersebut. Ini kerana, kualiti dan kandungan pemakanan di dalamnya akan terjejas sekiranya kita mengambil produk ini selepas tarikh luputnya.
Sekiranya kita mahu mencuba mengurangkan pengambilan lemak atau ingin mengetahui jumlah sebenar lemak yang kita ambil, bandingkan label pada produk makanan yang berbeza dan pilihlah makanan yang mengandungi jumlah lemak dan lemak tepu yang paling sedikit. Di Malaysia, hanya produk yang mengandungi kurang daripada 3.0g lemak dalam setiap 100g makanan pejal atau 1.5g dalam setiap 100ml makanan cair boleh menuntut status “Rendah Lemak” .
Selain itu, kiraan kalori adalah sangat penting. Oleh yang demikian, kita perlu perhatikan jumlah kalori yang kita ambil dalam setiap hidangan. Bebas lemak tidak bererti bebas kalori. Item rendah lemak pula mungkin mengandungi sama banyak kalori dengan makanan lemak penuh. Sekiranya label menyenaraikan 1 hidangan bersamaan 3 biskut serta 100 kalori dan pengguna mengambil 6 biskut, maka ini bermakna pengguna telah mengambil dua kali ganda jumlah kalori dan lemak.
Kadar kalori bagi sebungkus makanan juga perlu diperiksa. Pada setiap pembalut makanan akan tertera kadar kalori dan kalori daripada lemak. Hal ini menunjukkan jumlah tenaga yang boleh diperolehi daripada makanan. Jika terlalu banyak kalori masuk ke dalam tubuh badan untuk tempoh sehari, berat badan akan bertambah dan risiko kegemukan akan meningkat. Sebagai panduan, 40 kalori dalam sesuatu makanan termasuk dalam kategori rendah, 100 kalori adalah kategori sederhana, dan 400 kalori adalah kategori tinggi.
Semua label makanan menyenaraikan ramuan produk berdasarkan beratnya.Ramuan yang paling banyak jumlahnya akan disenaraikan dahulu. Ramuan yang paling sedikit jumlahnya akan disenaraikan paling akhir. Rujuk senarai ramuan untuk mencari bahan yang ingin kita elakkan atas sebab-sebab kesihatan atau perubatan. Contohnya, jika pengguna ingin mengurangkan pengambilan gula maka pengguna seharusnya memilih makanan yang tidak mengandungi gula atau mempunyai kandungan seperti sukrosa, glukosa, fruktosa yang dapat diperhatikan di bahagian senarai ramuan pada label makanan.
Senarai ramuan pada label makanan juga merupakan tempat yang baik untuk mencari ramuan yang perlu bagi meningkatkan tahap kesihatan. Contohnya, jika keluarga kita mempunyai sejarah penyakit jantung, kita mungkin mahu mencari makanan yang mengandungi ramuan yang baik untuk jantung bagi melengkapi pemakanan kita seperti lemak mono tak tepu iaitu zaitun, jagung, atau bijian penuh iaitu seperti oat atau gandum. Tambahan lagi, jika kita ingin meningkatkan kesihatan tulang, pilihlah makanan yang mengandungi kalsium, magnesium dan vitamin D.
Mengikut undang-undang di Malaysia, natrium dan kolesterol adalah tidak wajib disenaraikan dalam label makanan. Walau bagaimanapun, kita masih boleh menemuinya tersenarai dalam sesetengah label makanan. Natrium merupakan sebahagian daripada garam, oleh itu mereka yang mahu menjaga pengambilan garam atau memelihara tekanan darah, adalah lebih baik memilih makanan yang rendah kandungan natrium.
Justeru itu, kandungan karbohidrat juga tertera pada label makanan dalam sesuatu produk makanan. Karbohidrat boleh didapati daripada bijirin penuh, ubi kentang, gula dan sebagainya. Bukan sahaja kita harus memerhatikan jumlah karbohidrat yang diambil, tetapi juga sumber daripada manakah ia diperolehi. Contohnya, kedua-dua produk A dan produk B mengandungi 15g karbohidrat. Sumber karbohidrat bagi Produk A ialah daripada bijirin bijian penuh manakala sumber utama karbohidrat bagi Produk B adalah daripada gula. Menilai daripada sumbernya, Produk A seharusnya menjadi pilihan berbanding Produk B.
Sebagai pengguna yang prihatin, kita  perlulah bijak menilai makanan. Ilmu pengetahuan adalah kunci penilaian yang baik. Dengan memahami makna istilah yang terkandung dalam label, kita boleh membandingkan jenis-jenis makanan berdasarkan faktor seperti kandungan nutrien dan kualiti ramuan yang digunakan.
Kesimpulannya, pengguna perlu berhati-hati dalam memilih produk makanan dengan membaca label makanan terlebih dahulu. Ini kerana, ia memberi kesan kepada kesihatan dan kehidupan dalam jangka masa panjang. Tidak dilupakan, pengguna perlu melihat tarikh luput sesuatu produk makanan sebelum membeli.


Pemenang hadiah saguhati HPM 2011. Anak kelima ku Aina Khaleeda bt. Jaafar  pelajar Tingkatan 3, SMK . Pekan Baru, Parit Buntar, Perak.

Tiada ulasan: